Pokok Gelenggang
Pokok Gelenggang (Casia Alata) merupakan sejenis tumbuhan
daripada famili Caesalpiniaceae yang mempunyai nilai perubatan penting
sebab ia mampu merawat penyakit kulit yang disebabkan oleh kulat.
Didalam membuat rujukkan, kami dapati ia mempunyai beberapa sinonim nama
bontanikal lain seperti Cassia bracteata, Cassia herpetica, Cassia
rumphiana, Cassia alata var perennis Pamp, Cassia alata var rumphiana
DC, Herpetica alata dan akhir sekali dikenali dengan nama Senna alata
(Famili Fabaceae).
Di kenali juga sebagai pokok kurap, belukar lilin atau nama Inggerisnya seperti candelabra bush, empress candle plant, ringworm tree atau candle tree banyak digunakan dalam perubatan tradisional sejak berzaman lagi.
Pokok gelenggang boleh mencapai ketinggian antara 2 – 10 meter dengan daun berbentuk seiras (bilateral) dan berlawanan secara simetri, akan kucup pada waktu malam. Bunga gelenggang berwarna kuning atau oren dan dilitupi oleh penutup yang menyerupai lilin sebelum bunganya berkembang. Buahnya bersalut kulit seperti buah kekacang dan bijinya kecil berbentuk bulat.
Penanaman pokok ini secara komersil mampu dijalankan oleh mereka yang
ingin menghasilkan produk berasaskan kepada daun gelenggang secara
komersil. Salah satu dari kawasan penanaman pokok gelenggang yang saya
jumpa adalah di TKPM Titi Gantung, Perak dan beberapa ladang herba di
Negeri Sembilan.
Dalam perubatan Melayu, daun gelenggang merupakan tumbuhan ubatan yang mujarab untuk mengubati pelbagai penyakit kulit seperti kurap, panau, kudis dll. Caranya dengan melumatkan daun gelenggang tanpa air dan dicampur setitik minyak tanah dan lumurkan pada tempat yang terkena kurap. Lakukan beberapa kali hingga kurap hilang. Kesannya sedikit pedih. Selain dari itu ianya boleh dijadikan penawar kepada sengatan serangga dan eczema.
Bahan kimia yang terdapat pada pod atau buah pokok gelenggang termasuklah saponin yang bertindak sebagai julap dan mengeluarkan parasit usus. Di Afrika, daunnya direbus dan digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi. Manakala di Amerika Selatan, disamping penyakit kulit, ia juga digunakan untuk merawat pelbagai penyakit daripada masalah perut, demam, asma untuk gigitan ular dan penyakit kelamin (sifilis, gonorea).
Pokok gelenggang juga dikatakan mampu mengubati masalah sembelit, satu sudu teh air rebusan daunnya boleh diambil sebagai julap. Akar gelenggang boleh digunakan untuk mengatasi masalah uterus (rahim). Air rebusan daunnya juga dijadikan ubat cacing, penawar sawan, resdung, bengkak saluran nafas, Di sesetengah negara Amerika Selatan, air rebusan akarnya dan akar alamanda digunakan untuk merawat penyakit malaria.
Daun gelenggang segar juga dipetik dan dikeringkan. Setelah daun-daun gelenggang dikeringkan secara jemuran semulajadi, ia akan disalaikan di atas bara api, untuk menimbulkan rasa dan aroma, daun-daun yang telah disalai disimpan untuk diminum sebagai teh, yang dikenali sebagai teh Sulok bagi orang Sarawak. Rasanya ringan dan baik sebagai minuman melawaskan kencing (diuretic), menurunkan kolestrol darah (blood cholesterol) dan membersihkan perut.
Asas perubatan herba pada tumbuhan ini terletak pada daunnya, walaupun akar dan bunganya juga digunakan dalam persiapan nilai perubatan tertentu. Ekstrak dari daun gelenggang biasanya digunakan sebagai ramuan untuk losyen, sabun dan syampu.
Kepada mereka yang ingin untuk menanam pokok gelenggang dinasihatkan agar mengenalpasti dimana ia akan dijual atau sebaiknya mempunyai kemudahan dan peralatan serta teknologi untuk memprosesnya sendiri. Penanaman tumbuhan ini adalah mudah diusahakan dan memerlukan kos yang tidak berapa tinggi seperti tanaman lain.
Dalam keadaan biasa kita boleh membeli pelbagai krim atau sabun berasaskan daun gelenggang dikedai. Harganya juga murah dan amat berpatutan dan dapatkan yang ada jaminan kualiti.
Jika kita hendak gunakan sendiri, kita boleh buat sendiri dimana caranya seperti diterangkan pada perenggan atas.





Post a Comment